[20:26 PM/Jumaat/03:07:20] Kolej 14 dan L5 231

Assalamualaikum dan selamat malam para pembaca yang cantik manis dan kacak belaka! Apa khabar anda semua hari ini? Semoga hari anda dihiasi dengan penuh keindahan dan rasa ketenangan yang maha dalam. Oklah! Malam ni saya nak kongsi sikit tentang kolej yang saya duduki dan juga bilik yang saya diami sepanjang dua semester saya berada di UPM. Ha, nak tahu tak? Kalau anda semua nak tahu, jom! Saya ceritakan sikit hehe...

Saya menetap di Kolej 14, dan kolej ini merupakan salah satu unit dalam Serumpun. Saya rasa bersyukur juga kerana dapat duduk di kolej ini sebab ia berdekatan dengan fakulti saya iaitu Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK). Dan yang paling menyeronokkan, kalau naik bas UPM, bas akan berhenti di fakulti saya dahulu! Hehehe, tidak perlu berdiri terlalu lama pada waktu pagi. Tetapi kalau waktu hendak pulang ke kolej, saya perlu cepat supaya dapat tempat duduk di dalam bas! Tapi kebiasaannya, saya dan rakan sekelas saya Iqma selalu ketinggalan kerana kami malas hendak berebut dengan pelajar lain. Maka dengan itu, kami biarkan bas paling awal berlalu pergi dan sabar menunggu bas yang seterusnya datang...

Selain itu, saya juga amat bersyukur kerana ditempatkan di blok L5. Walaupun saya akui, L3 lebih cantik dan lebih dekat dengan stesen bas, tetapi saya masih bersyukur kerana dapat duduk di L5 dan bilik saya ialah pada tingkat 2! Semasa pertama kali memasuki UPM tahun lepas, saya ditempatkan di blok L3 namun saya mendapat bilik di tingkat 3! Wah! Agak penat juga sebernarnya untuk memunggah barang saya yang banyak itu ke tingkat 3 hehe. Oleh itu, saya bersyukur kerana dapat tingkat 2 walaupun agak jauh sedikit dari stesen bas dan kafe.

Nombor bilik saya ialah 231 dan dalam bilik saya terdapat 3 orang. Semasa semester pertama, ada 4 orang di dalam bilik namun seorang rakan sebilik saya iaitu Kak Umai (Umaira) sudah keluar dari kolej kerana beliau merupakan pelajar tahun akhir dan sedang menjalani latihan industri, maka kami tinggal bertiga sahaja iaitu Farah, Kak Aqilah, dan saya. Kak Aqilah juga merupakan pelajar tahun ketiga dan sedang mempersiapkan diri untuk FYP beliau. Farah dan saya merupakan bekas pelajar Kolej Matrikulasi Program Dua Tahun (PDT), namun, Farah dari KMK dan saya dari KMJ. Kami berusia 21 tahun dan berkongsi banyak minat yang sama. Mungkin sebab itu kami rapat walaupun baru berjumpa tahun lepas.




Ini ialah pandangan dari bilik saya. Setiap malam, saya pasti dapat mendengar suara-suara pelajar yang menggunakan sanggar untuk berlatih dan sebagainya. Kadang-kadang saya dan Farah ada juga mengintai aktiviti mereka. Nasib baik kami tak kantoi... hehe. Dan kalau mereka menyanyikan lagu yang kami tahu, pasti tergendala segala kerja! Kami akan turut sama menyanyi dengan mereka!




Ini ialah keadaan meja saya. Maaf kerana bersepah. Tak silap saya, masa ini saya sedang mempersiapkan diri untuk peperiksaan akhir semester 1. Study weeklah katakan, itu yang agak kalut. Masa ini nak mencari nota tetapi tidak jumpa! Habis meja itu saya bongkar untuk mencari nota tersebut. Alahai, nasib badan...




Saya ada membeli lampu hiasan untuk diletakkan di dalam bilik. Kadang-kadang pada waktu malam, saya dan Farah akan nyalakan lampu ini dan kami akan bercerita tentang banyak perkara. Walaupun esok pagi kelas bermula pada pukul 8, namun, apabila kami mula berbual, susah untuk berhenti! Memasang lampu tersebut sedikit sebanyak menambahkan rasa romantis, sebagai satu latar untuk kami bercerita tentang rahsia hati masing-masing! Cewah... 




Tak silap saya, gambar ini saya ambil semasa hendak masuk semester 2. Waktu ini, Farah dan Kak Aqilah masih belum pulang ke kolej. Saya tidur seorang diri malam tu. Walaupun agak takut, tapi saya gagahkan juga untuk bermalam seorang diri. Nasib baik ada ramen (mi segera) yang menemani saya malam itu. Perut kenyang, hati pun senang!



Waktu pagi. Matahari baru sahaja hendak melampiaskan sinarnya pada permukaan bumi. Saya amat bersyukur kerana kolej saya dikelilingi dengan pokok yang malar segar. Sejuk mata saya memandang kehijauan alam yang indah itu! Barulah semangat untuk memulakan hari saya!





Saya amat bersyukur kerana Allah pertemukan saya dengan rakan sebilik yang baik, kelakar, 'masuk air', dan juga bersahaja seperti Farah. Kami suka berbual jadi ada sahaja cerita yang hendak disampaikan! Kami juga selalu berkongsi makanan dan kadang-kadang kami menonton drama atau filem bersama-sama sambil makan ramen! Kami berdua memang kaki makan. Kami suka mencuba makanan yang baru dan window shopping. Kami tengok sahaja, belinya tidak, hahahaha. Saya banyak menghabiskan masa pada hujung minggu dengan beliau. Tempat kunjungan lazim kami? Sudah semestinya IOI City Mall! Kami belum lagi cuba untuk pergi ke tempat-tempat lain. Namun begitu, saya berharap agar satu hari nanti saya dapat bercuti dengan Farah. Kami berfikir hendak pergi ke Melaka jika ada kesempatan. Dan! Saya mahu memasuki rumah hantu dengan Farah! Banyak lagi aktiviti yang kami hendak lakukan bersama-sama. Saya percaya jika kami dapat kembali ke kolej seperti biasa, sudah pasti kami dapat meluangkan masa seperti biasa.



Walaupun baru 2 semester saya duduk di Kolej 14 dan bilik 231, namun, banyak sekali memori indah yang telah diukir. Sudah hampir empat bulan saya tidak berjumpa dengan Farah, rindu juga rasanya hendak berbual dengan beliau. Nasib baik saya dapat berjumpa dengan beliau beberapa minggu lepas untuk mengambil barang. Terubat juga rindu saya. Farah! Nanti kita jumpa lagi eh!

Entri kali ini sedikit sebanyak membuatkan saya terimbau kembali kenangan yang terpahat dalam jiwa dan hati saya. Semoga perkongsian saya pada malam ini yang bersifat santai mampu membangkitkan rasa suka dan bahagia dalam diri anda semua. Terima kasih kepada anda semua yang sudi membaca entri saya pada malam ini.

Sekian. Jaga diri! Assalamualaikum.

Comments

Popular Posts