[14:16 PM/Isnin/06:07:20] 이리와 안아줘 (Come and Hug Me): Salah satu Drama Terbaik yang Saya Pernah Tonton!




Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua!

Saya pasti dalam kalangan anda semua, pasti ada yang meminati drama Korea, bukan? Saya juga begitu, hehe. Tetapi saya tidaklah layak dipanggil sebagai 'kaki drama''kerana sejujurnya saya lebih meminati lagu-lagu Korea (K-pop) berbanding K-drama. Namun begitu, saya hendak berkongsi dengan anda semua tentang drama kegemaran saya sepanjang zaman! Jujur, saya amat menyukai drama ini!

Drama ini bertajuk Come and Hug Me dan telah disiarkan di MBC (Korea) atau di Oh!K (Malaysia). Drama ini telah disiarkan pada tahun 2018. Walaupun drama ini sudah disiarkan dua tahun lepas, namun, bagi saya, tiada drama yang mampu menambat hati saya sebagaimana drama ini telah menawan saya seluruhnya.

Drama ini dibintangi oleh Jang Ki Yong (Yoon Na Moo/Chae Do Jin), Jin Ki Joo (Gil Nak Won/Han Jae Yi) dan Heo Joon Ho (Yoon Hee Jae). Ia mengisahkan Hee Jae yang merupakan ayah kepada Yoon Na Moo dan beliau merupakan seorang pembunuh bersiri yang paling dikehendaki di Korea. Nak Won dan keluarganya baru sahaja berpindah ke sebuah rumah yang terletak jauh di pedalaman lalu Nak Won dan Na Moo berjumpa secara tak sengaja. Perjumpaan mereka telah membibitkan perasaan suka namun begitu, Na Moo tahu bahawa dia tidak sepatutnya berjumpa dengan Nak Won kerana ayahnya seorang psiko dan boleh membunuh siapa-siapa sahaja yang dia rasakan 'bahaya' kepada keluarganya.

Pada malam Hari Krismas, Hee Jae telah membunuh ibu bapa Nak Won kerana beliau berasakan bahawa Nak Won mengubah anaknya menjadi lemah. Pembunuhan kejam itu telah mengakibatkan Nak Won dan Na Moo berpisah. Mereka berjumpa kembali apabila sudah dewasa, namun, mereka berdua menggunakan nama yang berbeza iaitu Chae Do Jin (yang berkhidmat sebagai detektif) dan Han Jae Yi (sebagai seorang perlakon) untuk menyembunyikan identiti sebenar mereka.

Saya amat meminati drama ini kerana ia amat berat dengan mesej kekeluargaan dan juga realiti masyarakat kini. Drama ini banyak membuat saya menangis dan juga tersenyum! Pada saya drama ini amat sesuai ditonton oleh setiap lapisan masyarakat (namun ada juga babak yang ngeri dan perlu nasihat serta pengawasan ibu bapa) kerana ia sarat dengan pelbagai nilai murni dan juga pengajaran. Walaupun plotnya kedengaran klise, tetapi percayalah bahawa drama ini sememangnya lain dari yang lain! Setiap babak digarap dengan indah dan bait-bait kata yang dikeluarkan juga mempunyai makna yang mendalam.

Saya berharap agar anda di luar sana dapat menonton drama ini! Rugi kalau anda tak mencuba untuk menonton drama ini... hehehe.

Saya akhiri entri saya pada hari ini dengan sebaris ayat di dalam drama ini:




"In times like that, come to me. When the pain is too much to handle, come to me, Na Moo. Whatever the situation and whatever happens, I will like you for the rest of my life."
                                                                                                                    - Gil Nak Won




Sekian. Selamat menonton! Assalamualaikum.

Comments

Popular Posts