[16:03 PM/Selasa/31:03:20] Nasi Lemak dan Tarian Zapin? Eh, Itu Budaya dan Seni Orang Malaysia!

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua.

Saya berharap agar semua pembaca berada dalam keadaan yang sihat sejahtera. Memandangkan kita semua sedang bercuti dan berehat di rumah, sudahkah kita meluangkan masa bersama-sama keluarga atau kita masih khusyuk menghadap telefon bimbit? Ha, jom beri masa untuk keluarga! Inilah masanya untuk kita berkumpul dan melakukan aktiviti-aktiviti yang dapat mengeratkan silaturahim sesama ahli keluarga! Jom, jom! Kita keluarga semua peralatan yang boleh kita main bersama keluarga seperti Saidina, kad, chess, dan lain-lain lagi!

Pembaca yang dihormati sekalian, pada petang yang mulia ini, izinkan saya untuk kongsikan sedikit budaya dan seni yang terdapat di Malaysia ini. Malaysia sangat kaya dengan budaya dan seni. Terdapat pelbagai jenis cabang yang boleh kita terokai apabila bercerita tentang seni dan budaya ini namun begitu, saya mengambil keputusan untuk memfokuskan pada seni tari zapin dan juga budaya makanan tradisional Malaysia iaitu nasi lemak.






Aduh! Kalau kita pergi ke kedai pada waktu pagi untuk menikmati sarapan, saya pasti bahawa majoriti masyarakat Malaysia akan memilih nasi lemak sebagai menu santapan mereka! Mengapa nasi lemak? Apa yang istimewa tentang nasi lemak ini?

Nasi lemak mempunya keunikannya yang tersendiri kerana beras dimasak dengan santan dan juga diletakkan daun pandan sebelum ditanak. Rasanya yang lemak serta aroma wangi daripada daun pandan pasti menaikkan selera! Ditambah pula dengan sambal ikan bilis yang pedas-pedas manis, hirisan timun segar dan telur rebus, serta diiringi dengan kerangupan kacang dan ikan bilis goreng; masyaAllah! Enak sungguh!

Apabila saya berbual dengan rakan-rakan saya yang berasal dari negara luar, saya amat mengesyorkan kepada mereka untuk mencuba nasi lemak. Mereka amat sukakannya! Namun ada juga yang mengatakan bahawa sambalnya agak pedas sedikit, hehe. Malaysia dan kepedasan tidak dapat dipisahkan, bagai isi dan kuku!

Orang Melayu, orang Cina, dan juga orang India; rata-rata mempunya resipi nasi lemak mereka yang tersendiri. Namun begitu, perkara yang mengharukan bagi saya ialah kita sebagai rakyat Malaysia dapat disatukan dengan adanya juadah tradisional seperti ini. Tidak kira bangsa, agama, budaya, mahupun warna kulit, nasi lemak pasti dapat menyatukan kita semua! Cuba anda tanya semua orang yang duduk di Malaysia, adakah yang tidak pernah merasai nasi lemak? Kalau ada, tolong bagi tahu saya eh...









Seterusnya, saya hendak berkongsi dengan anda tentang seni tari yang amat terkenal di Malaysia. Sebelum itu, saya hendak bertanya. Pernahkah anda semua dengar tentang tarian zapin? Apa itu tarian zapin?

Tarian zapin ini amat terkenal sekali di Johor. Tarian zapin Johor sebenarnya terbahagi kepada dua iaitu Zapin Melayu dan Zapin Arab. Tarian Zapin biasanya akan diiringi dengan muzik ghazal yang juga merupakan warisan seni di Johor. Hal ini disebabkan oleh kelembutan dan kehalusan tradisi tarian itu sendiri, Zapin Melayu Johor walaupun lahir daripada adaptasi yang dilakukan ke atas Zapin Arab secara selektif namun tidak dapat disangkal lagi tarian zapin ini memperlihatkan lebih kehalusan dan keayuan geraknya dari Tarian Zapin Arab. 

Terdapat sebuah sekolah di Johor Bahru yang mempunyai kumpulan zapin terkenal di seluruh negara. Sekolah tersebut ialah Sekolah Kebangsaan Seri Melati. Kumpulan zapin mereka telah banyak kali memenangi anugerah dan juga membuat persembahan pada majlis-majlis besar di seluruh negeri Johor dan juga di negeri-negeri lain.

Walaupun saya berasal dari Johor namun saya tidak begitu mahir menari tarian zapin ini. Tetapi, saya berharap agar generasi akan datang dapat mempelajari tarian ini! Saya hanya tahu menari beberapa langkah sahaja... hehe.

Sebelum saya akhiri entri saya pada petang ini, izinkan saya untuk menjual serangkap pantun.




Bunga ditelinga namanya Raflesia,
Warnanya merah terpahat dalam ingatan,
Warna-warni budaya dan seni di Malaysia,
Dikekalkan perlu, dilupa jangan.





Sekian sahaja untuk hari ini.

Assalamualaikum.

Comments

Popular Posts