[15:11 PM/Selasa/31:03:20] Baju Kurung? Ha, Baju Kurunglah!

Terletak elok menutupi tubuh
Dipakai dengan selendang sungguh anggun
Baju kurung tradisi utuh teguh
Siapa-siapa yang melihat pasti terpegun




Assalamualaikum dan selamat sejahtera saya ucapkan kepada anda semua.

Walaupun negara kita sekarang dilanda satu wabak yang amat membimbangkan namun begitu, kita perlulah sentiasa tenang dan patuh akan arahan yang telah ditetapkan oleh perdana menteri kita iaitu Tan Sri Muhyiddin Yasin. Saya berharap agar anda semua diluar sana menjaga kesihatan dengan sebaiknya. Elakkan pergi ke tempat awam dan sentiasa menjaga kebersihan diri. Pandemik ini akan mengambil masa yang agak lama untuk dihapuskan oleh itu, kita perlulah mematuhi arahan yang telah dikeluarkan oleh KKM untuk stay at home agar wabak ini tidak akan merebak dengan lebih meluas lagi. Ayuh rakyat Malaysia yang bijak laksana, marilah kita bersama-sama menolong frontliners kita agar masalah ini dapat diselesaikan dengan sebaiknya. Jangan lupa untuk sentiasa berdoa agar Allah dapat membantu kita dalam mengatasi permasalahan ini.

Baiklah! Itu sahaja slot tarbiah saya pada petang ini, hehe.

Pada entri kali ini, saya hendak berkongsi tentang pakaian tradisional yang sangat cantik dan versatil iaitu baju kurung.

Pasti anda semua tertanya-tanya, kenapa namanya baju kurung ya? Ha, baju kurung ini sebenarnya dibuat untuk 'mengurung' bentuk badan kita daripada dilihat oleh orang yang bukan mahramnya. Baju kurung selalunya dibuat dengan tidak mengikut bentuk badan dan amat sopan sekali jika dilihat oleh semua.

Baju kurung tradisional selalunya dikenakan apabila menghadiri majlis perkahwinan, majlis agama, dan majlis rasmi. Baju kurung ini sesuai dikenakan pada bila-bila masa kerana ia sepadan dengan semua majlis yang ada di Malaysia. 

Ini ialah contoh baju kurung tradisional pesak Johor:





Apa yang saya dapat perhatikan daripada baju kurung tradisional ini ialah motif yang digunakan lebih kepada motif bunga-bungaan. Baju kurung tradisional banyak sekali menggunakan corak sebegini dan pemakainya pasti akan kelihatan manis sekali. Kain yang digunakan juga kebanyakkannya ialah cita atau kapas kerana medium tersebut ringan dan mudah untuk dikendalikan. Baju kurung yang diperbuat kain cita juga tidak panas.



Ini ialah contoh baju kurung Pahang:





Baju kurung Pahang mempunyai reka bentuk yang tersendiri. Perbezaan baju kurung Pahang dan baju kurung tradisional ialah kedua-dua bahagian tepi baju kurung Pahang berpesak kembang yang disambung kekek gantung. Oleh sebab itu, baju kurung Pahang terlihat sedikit kembang dibahagian bawahnya dan berbeza sekali dengan baju kurung tradisional.


Akhir sekali ialah baju kurung Kedah:








Baju kurung Kedah diperbuat menyerupai blaus pendek singkat hingga ke paras punggung. Reka bentuk ini diinspirasikan dari Selatan Thai. Baju ini amat terkenal sekali pada zaman moden ini dan bolehkah saya katakan ia ialah baju kurung moden? Baju kurung Kedah kebiasaannya dipakai dengan kain sarung. Kain sarung itu diikat ambak mengalur dan masuk sebelah kiri atau kanan. Nenek saya sentiasa memakai baju kurung Kedah ini dan ia juga dianggap sebagai baju harian atau basahan. Namun begitu, sekarang terdapat banyak corak yang cantik dan menarik yang boleh didapati pada baju kurung Kedah ini!

Secara jujurnya, saya amat menggemari baju kurung Pahang kerana pada pendapat saya ia lebih sopan dan tidak terlalu ketat. Ibu saya selalu menempah baju kurung Pahang untuk kami berdua apabila menjelang hari raya Aidilfitri. Ayah dan abang saya pula sering mengenakan baju melayu teluk belanga kerana kami berasal dari Johor.

Saya boleh simpulkan di sini bahawa walaupun zaman sekarang makin menuju ke arah modenisasi, namun begitu saya berasa sangat bangga kerana orang Melayu masih mengenakan pakaian tradisional ini hingga kini. Benarlah kata pepatah, baju kurung ini ibarat tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas. Sentiasa relevan dan malar segar!

Harapan saya agar pemakaian baju tradisional ini dapat dikekalkan dan generasi akan datang dapat merasai betapa indahnya memakai baju yang sudah diwarisi dari zaman ke zaman.

Sekian sahaja untuk hari ini.

Assalamualaikum.

Comments

Popular Posts