[09:10 AM/Jumaat/06:03:20] Sungai yang Mengalir Lesu Menghamparkan Sebuah Rindu

Irwan mendongak ke atas, menangis kerana teringatkan Mulyadi dan pesanan terakhirnya. "Aku tak hendak duit," katanya tersedu. "Kau berikan anak-anak patung dalam beg ini." Sementara menanti jawapan, Irwan memerhatikan ke sungai yang mengalir lesu itu. Dia tahu Mulyadi ada di dasar sungai. Dia menangis.


 Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua.

Saya telah memetik satu perenggan yang ditulis oleh sasterawan negara, A. Samad Said menerusi novelnya, Sungai Mengalir Lesu. Novel tersebut telah pertama kali diterbitkan oleh Pustaka Gunung Tahan pada tahun 1967, dan kemudiannya diterbikan semula oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1984. Saya telah berkesempatan untuk pergi ke Perpustakaan Sultan Abdul Samad, UPM untuk meminjam novel ini. Seronok rasanya apabila ternampak buku karya sasterawan negara yang disegani dan dihormati tersemat kemas di rak buku itu.




Secara ringkasnya, Sungai Mengalir Lesu ini telah menyentuh tentang isu perkauman dan juga semangat perjuangan yang tinggi. Saya amat gemar dengan kata-kata A. Samad Said ketika diwawancara oleh Astro Awani.


"Waktu itu kita sudah berbilang kaum tetapi saya dapati waktu penderitaan itu orang lupa dia Melayu, Cina atau India."


Wartawan Irwan Muhammad Zain telah menulis sebuah artikel yang bertajuk Penderitaan menyatukan semua kaum (1 April 2014). Setelah membaca novel yang ditulis oleh A. Samad Said, saya mendapati bahawa terdapat isi tersurat dan juga tersirat yang wajar diselidik oleh generasi muda ketika ini. Walaupun Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunya pelbagai kaum, namun begitu, masih terdapat jurang yang memisahkan kita semua daripada bersatu menjadi Malaysia. Saya selalu merasakan bahawa generasi muda kini perlulah memainkan peranan yang penting dalam memecahkan stigma yang sudah lama bertapak di Tanah Melayu ini.

Saya amat senang dengan penggunaan bahasa A. Samad Said yang ringkas tetapi padat, mendalam dan berkesan. Isu yang dipertengahkan oleh A. Samad Said ialah mengenai peperangan. Beliau mengatakan bahawa buku ini ditulis kerana masih segar potret pepeprangan itu dalam mindanya. Segala yang dicoretkan dalam buku ini memberikan impak yang besar kepada saya, kerana ia telah membuka mata saya untuk melihat satu sisi Malaysia yang tidak pernah saya saksikan sebelum ini. Mungkin kerana buku ini ditulis berlatarkan peperangan pada tahun 1940-an, dan ketika itu saya belum lagi lahir, saya dapat memahami sedikit tentang situasi yang dialami oleh penduduk Malaysia ketika itu. Perasaan takut, rungsing dan buntu pasti memenuhi segenap ruangan pemikiran mereka.

Dengan membaca novel ini, saya teringat akan kisah yang diceritakan oleh nenek saya, Sutimah Hj Rikhan. Nenek saya sekarang sudahpun berusia 78 tahun dan beliau dilahirkan pada 14 November 1942. Beliau ada semasa peperangan berlaku. Nenek saya berkongsi rasa takut beliau kerana terpaksa bersembunyi di bilik bawah tanah kerana takut ditangkap oleh Jepun. Pada ketika itu, Jepun amatlah kejam dan rakus dalam pemerintahan. Tidak kira siapa, mereka akan mencabut nyawa insan-insan yang tidak bersalah dengan sesuka hati tanpa rasa belas kasihan. Nenek saya ketika itu masih kecil lagi, masih tidak tahu apa-apa namun apabila melihat ibu bapa beliau menangis, nenek saya turut juga menangis.

Selain itu, saya juga telah meminjam sebuah buku yang bertajuk Buah Rindu, nukilan Amir Hamzah. Buah Rindu merupakan kumpulan sajak yang ditulis sekitar tahun 1928 hingga tahun 1935.






Kompilasi sajak-sajak yang pendek namun amatlah indah dari segi bahasa dan juga mempunyai maksud yang dekat dengan kita semua sebagai manusia. Perasaan cinta dan rindu itu tidak pernah akan lari dari hati seorang manusia kerana itulah fitrah kita sebagai hamba-Nya; mahu mencintai dan dicintai. Setiap sajak yang ditulis ini menunjukkan sisi Amir Hamzah yang berbeza-beza. Dari sajak pada mukasurat pertama yang bertajuk Chempaka... hingga sajak yang terakhir berjudul Naik2.

Saya amat menyukai tajuk-tajuk yang ada dalam kumpulan sajak ini. Ia pendek tetapi sarat dengan mesej yang tersirat. Saya suka akan bahasa yang digunakan, walaupun ada juga beberapa perkataan yang saya kurang mengerti namun ia tidak menjadi penghalang untuk saya terus menikmati setiap detik pembacaan Buah Rindu ini.

Secara keseluruhannya, dengan membaca karya-karya kreatif yang ditulis oleh pengarang yang ternyata kreatif dan kritis dalam menyusan setiap bait kata, saya mendapat inspirasi untuk menghasilkan sajak dan juga cerpen saya sendiri. Pengalaman membaca karya kreatif ini ternyata berbeza dengan membaca buku-buku yang lain. Hal ini kerana bahasa yang mereka gunakan lebih puitis dan tersusun rapi serta memberi kepuasan yang berganda.

Saya mengakhiri entri blog saya pada kali ini dengan kata-kata yang terdapat dalam buku Buah Rindu.


Remukkan rindu
Rendamkan duka
Rentapkan sendu
Hati kelana


Sekian.

Assalamualaikum.

Comments