[21:18 PM/Rabu/19:02:20] Dan Kepada Allah Jualah Kita akan Dikembalikan...
Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua.
Hari berganti hari, minggu berganti minggu, kita sering dikejutkan dengan berita pemergian insan-insan dalam kehidupan seharian. Ada pemergian yang tak dijangka, manakala ada juga pemergian yang sudah diduga. Inalillahiwainnailaihirojiun...
Memetik dari ayat 82 dan 83 dalam surah Yasin, apabila Allah berfirman, "Jadilah engkau! maka akan menjadilah ia," dan sudah ditulis dalam ayat tersebut, "dan kepada Allah jugalah kamu semua dikembalikan."
Semakin hari, tanpa kita sedari, kita sudah menghampiri saat-saat kematian. Namun begitu, perancangan Allah itu Maha Indah, kerana Allah masih memberi peluang kepada kita semua untuk bertaubat dan kembali kepada jalanNya yang lurus.
Pada minggu yang lalu, hari Isnin bersamaan 10 Februari 2020 (16 Jamadil Akhir 1441 H), kita dikejutkan dengan berita pemergian Allahyarham Syed Umar Mokhtar ataupun lebih dikenali dengan nama pentas beliau iaitu Abam Bocey. Beliau merupakan antara salah seorang pelawak yang tersohor di pentas komedi tanah air. Pemergian beliau ditangisi oleh ribuan masyarakat di Malaysia dan khususnya ahli keluarga serta sahabat handai beliau. Allahyarham telah meninggalkan seorang balu dan juga seorang anak yang masih kecil lagi.
Dan pada minggu ini, bertarikh 18 Februrari 2020 (24 Jamadil Akhir 1441 H), kita menerima satu lagi berita pemergian pelakon terkenal yang bernama Ashraf Sinclair. Beliau merupakan suami kepada penyanyi dan pelakon tersohor Indonesia iaitu Bunga Citra Lestari.
Setiap saat yang berlalu merupakan detik untuk kita terus menarik nafas dan juga untuk Allah menghentikan detak jantung kita. Sesungguhnya perancangan Allah itu hebat, kita sebagai hamba tidak mempunyai kuasa untuk melambatkan atau mempercepat sesuatu benda jika tiada izin dariNya.
MasyaAllah. Tatkala mendapat berita tentang pemergian allahyarham Abam, hati saya berasa begitu sebak, luluh jantung ini kerana memikirkan betapa sedihnya seorang ibu yang perlu menerima berita pemergian seorang anak yang amat disayangi, dan juga seorang isteri yang perlu menghadapi hari-hari yang mendatang tanpa seorang suami di sisi. Pada hari Isnin itu, hujan tidak henti-henti turun membasahi bumi, seakan ikut sama menangisi pemergian seorang insan yang baik akhlaknya dan tinggi budi pekertinya. Benarlah kata orang, kebaikan seseorang itu tidak boleh dibuat-buat. Siapa sangka, allahyarham telah banyak membantu insan-insan yang memerlukan pertolongan dalam diam, dan menjadikan sedekah itu sebagai satu kewajiban untuk beliau jadikan bekalan di akhirat kelak? Sungguh saya amat mengagumi keikhlasan hati beliau untuk membantu orang walaupun allahyarham juga kadang kala berada dalam kekusutan dan kesempitan wang. Begitu juga dengan allahyarham Ashraf, pada hari itu juga, hujan turun dengan begitu lebat sekali membasahi bumi. Moga titisan hujan yang turun itu dapat menyejukkan dan menenangkan hati isteri, anak dan keluarga allahyarham.
Banyak sekali pengajaran yang boleh saya dapati. Orang-orang yang baik akan sentiasa diingati dan sentiasa disanjungi walaupun mereka sudah tiada lagi di muka bumi. Segala kebaikan dan amalan yang telah mereka sumbangkan kepada insan-insan yang telah mereka bantu sudah semestinya akan sentiasa terpahat dalam hati dan sanubari mereka.
Ikhlas. Ikhlas merupakan salah satu nilai yang luhur namun tidak semua manusia boleh mengikhlaskan hati mereka untuk sesuatu perkara. Mengeluarkan kata ikhlas dari bibir itu mudah, namun begitu, untuk menerbitkan rasa ikhlas dari hati itu amat sukar. Keikhlasan hati itu boleh dididik jika kita mengingati tujuan kita dipinjamkan nyawa oleh Allah, iaitu untuk menjadi khalifah di bumi ini. Maka, dengan rajin bersedekah, membantu orang yang memerlukan, dan juga meringankan beban orang lain merupakan antara salah satu cara untuk memupuk diri menjadi ikhlas.
Sabar. Jika kita menerima dugaan dari Allah, ketahuilah bahawa Allah amat menyayangi kita. Allah tidak akan menurunkan ujian yang tidak mampu ditanggung oleh hambaNya. Allah tidak pernah zalim dalam menguji manusia. Sabar itu indah, dan sabar itu mendidik hati untuk menjadi lebih bersih serta tawakal kepadaNya. Oleh itu, kita perlulah sentiasa bersabar. Walaupun badai yang menghempas pantai hampir menggoncangkan dunia, bersabarlah, kerana orang yang sabar akan mendapat ganjaran pahala yang besar di akhirat kelak.
Redha. Saya tahu bahawa redha ini merupakan satu rasa atau sifat yang paling sukar untuk diterbitkan dalam diri. Hal ini kerana, sebaik mana kita sebagai hamba, pengakhirannya, kita hanyalah manusia biasa. Kita tidak lari dari rasa marah, kesal dan tidak puas hati. Mengapa Allah menarik nyawa ibuku? Mengapa Allah begitu kejam kerana mengambil ayahku? Adakah Allah tidak mengasihani diriku? Allahu. Saya tahu ia sukar. Saya meletakkan diri saya di tempat mereka, masyaallah, mungkin saya juga tidak mampu untuk redha dengan pemergian insan-insan yang saya amat sayang namun begitu, sebagai hambaNya yang bertaqwa, kita perlulah menerima hakikat bahawa kematian itu pasti dan pada suatu ketika, waktu itu ialah waktu kita pula untuk pergi meninggalkan dunia. Oleh itu, sama-samalah kita mengajar hati untuk redha kerana sesungguhnya Allah hanya memberikan yang terbaik untuk hamba-hambaNya.
Ayat 82 dan 83 surah Yasin tersebut telah banyak mengajar saya tentang erti kehidupan yang sebenar. Sejauh mana kita berlari, setinggi mana kita berdiri, sedalam mana kita merancang, namun Allah jualah penentu segalanya. Dan kita sebagai hamba, yang nyawanya telah diberi pinjam oleh Allah, yang hakikatnya tidak punya apa-apa selain amalan yang dilakukan di muka bumi ini, perlulah sentiasa bersyukur dan sentiasa mengingati bahawa kematian itu pasti. Tidak akan ada sesiapa pun yang bakal terlepas dari panggilan kematian.
Saya akhiri entri saya pada kali ini dengan sebuah sajak;
Senyumlah wahai bunga indah,
Usah dibiar hatimu terus gundah,
Hilangkanlah airmatamu wahai pencinta malam,
Takkan Kubiar harimu terus kelam.
Setiap tarikan nafas yang dihela,
Setiap detakan jantung yang berdegup,
Aku panjatkan doa yang berjela,
Teratak kekalmu kucium, kukucup.
Sudah puas aku berfikir,
"Kesudahanku pula bagaimana?"
Tak mampu untuk aku mengukir,
Jawapan yang hilang entah ke mana.
Kusirami pusaramu dengan bunga-bungaan,
Harum baunya mekar sejambak,
Namamu aku masih akan coretkan,
Takkan hilang dirimu dari benak.
Sekian.
Assalamualaikum.


Comments
Post a Comment