[19:19 PM/Jumaat/14:02:20] Pengalaman Memasuki Kuliah BBK3410




Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.

Pertama sekali, saya ingin membuka entri pertama untuk blog saya dengan serangkap pantun,


Hidup ini semuanya sama,
Nafas ditarik satu kurnia,
Hamba menulis bukan kerana nama,
Moga ilmu sampai ke seantero dunia.


Salam muhibbah saya ucapkan. Hari ini, saya hendak berkongsi tentang pengalaman memasuki kuliah BBK3410 ataupun Penglahiran Bakat Kreatif yang dikelolakan oleh Dr. Kamariah. Saya berada di dalam kumpulan dua yang dikuasai oleh pelajar-pelajar dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK). Sebahagian daripada rakan-rakan di dalam kelas ini mengambil jurusan Bacelor Sastera (Kesusasteraan Inggeris) dan Bacelor Sastera (Kesusasteraan Arab). Walaupun jurusan yang kami ambil ibarat langit dan bumi namun saya percaya kami dapat disatukan di bawah satu bumbung yang sama kerana kami sama-sama mempelajari ilmu sastera dan perbezaannya hanyalah pada bahasa sahaja. Bukan itu sahaja, kami juga dapat mempelajari cara-cara untuk menulis cerpen dan sajak dengan betul serta berkesan dari seorang penulis yang cukup dikenali ramai iaitu Profesor Madya Dr. Kamariah Kamarudin.

Pada hari Rabu (12 Februari 2020) bersamaan jam 9 pagi, saya telah menjejakkan kaki ke dalam DKAP D-2 tersebut. Ketika itu, saya dapat merasakan suatu aura yang sangat positif dan menenangkan. Hal ini kerana apabila saya tertancap wajah Dr. Kamariah yang sudah pun setia menunggu kami, hati saya menjadi tenang dan yakin untuk menempuhi kelas ini. Namun begitu, disebalik ketenteraman yang saya rasai, terselit juga beberapa persoalan yang berlegar-legar di dalam benak pemikiran seorang Arinah ketika itu; adakah aku mampu untuk melakukan yang terbaik untuk kursus ini? Apakah yang aku akan perolehi apabila tamatnya minggu ke-14 kuliah Penglahiran Bakat Kreatif ini? Justeru, apabila Dr. Kamariah menyambut kami dengan penuh kemesraan dan senyuman yang manis, saya dapat merasakan bahawa semangat yang hilang untuk seketika kembali meresap ke dalam tulang belulang saya.

Dr. Kamariah telah memberikan sedikit penerangan dan juga penjelasan mengenai tugasan-tugasan dan juga topik-topik yang bakal kami pelajari sepanjang 14 minggu kuliah bersama-sama beliau. Dari pengamatan saya, saya amat mengagumi beliau kerana kata-kata yang keluar dari bibir Dr Kamariah amatlah positif, efektif dan juga tegas. Beliau telah melontarkan pandangan beliau terhadap sesuatu isu itu dengan sangat tulus dan halus lalu ia membuatkan saya berfikir sejenak; adakah aku mampu untuk berfikir sekritis Dr. Kamariah?

Terdapat banyak persoalan yang ingin saya utarakan kepada Dr. Kamariah namun begitu, mungkin saya akan menemubual beliau jika mempunyai kelapangan. Sebagai seorang yang minat menulis, saya ingat mendapat seberapa banyak input yang boleh daripada seorang penulis yang sangat kreatif dan berkredibel seperti beliau. Saya amat menyanjungi cara beliau mendapatkan tunas idea yang luhur dengan hanya memerhatikan persekitaran beliau. Ini telah menyuntik rasa semangat dalam diri saya untuk cuba menulis sebaik beliau.

Secara jujurnya, saya berasa amat takut semasa Dr. Kamariah menghamparkan tugasan-tugasan yang perlu kami laksanakan pada skrin LCD tersebut namun dengan dorongan dan kata-kata motivasi yang diberikan oleh beliau, saya mendapat semula keyakinan tersebut. Idea-idea yang mula mengisi segenap pelusuk pemikiran akan saya cuba ukirkan menjadi baris-baris ayat yang mampu meninggalkan kesan yang positif dan mendalam terhadap pembaca di luar sana.

Bagi mengakhiri entri pertama saya pada kali ini, izinkan saya untuk berkongsi kata-kata yang diutarakan di dalam buku tulisan Ustaz Kazim Elias, Dari Denai Kampung ke Pentas Dakwah;


"Saya kata bukan saya punya ceramah yang membuatkan dia berubah, tetapi dia sendiri dan Allah juga yang membuka pintu hati untuk orang yang dikehendaki-Nya."


Harapan saya agar kata-kata yang saya telah dan bakal titipkan dalam blog ini mampu untuk memberikan pengajaran dan juga membuka ruang untuk berfikir serta menjadi sebuah medium untuk bertukar-tukar pendapat terhadap sesuatu isu yang akan dikemukakan.

Tuntasnya, pengalaman memasuki kuliah pertama BBK3410 merupakan satu kenangan yang manis dan akan selamanya terpahat dalam jantung yang masih berdetak ini. Semoga saya dan rakan-rakan akan mendapat kebaikan dan pengetahuan daripada Dr. Kamariah dan juga dari diri masing-masing.

Akhir kata, segala yang baik datangnya dari Allah dan segala kekurangan datangnya dari saya. Jutaan terima kasih saya ucapkan kerana sudi membaca entri pertama saya ini.

Insyaallah, jika ada masa dan kelapangan, saya akan menulis tentang isu-isu yang berbeza pula dalam entri saya yang akan datang.


Kalau ada sumur di ladang,
Boleh saya menumpang mandi,
Kalau ada umur yang panjang,
Boleh kita berjumpa lagi.


Sekian.

Assalamualaikum.

Comments