[11:31 AM/Jumaat/28:02:20] Pengembaraan ke Tanjung Piai, Suatu Kenangan yang Tidak Dapat Dilupakan!

Aku memandang ke arah awan,
Putihnya kepulan nan indah mencerminkan kebiruan,
Helaan nafas penuh ketenangan,
Hembusan nadi penuh keinsafan,
Titipan doa ikhlas aku pohonkan,
Aku bersyukur atas segala kurniaan.

Malar segar pepohon daun kehijauan,
Ranting berbisik melodi kekhilafan,
Teringat akan memori semalam,
Gemerlapan bintang mencakar langit,
Senyuman terukir menggamit keheningan,
Tawa riang pengubat sepi yang menggigit.

Lautan yang terbentang luas,
Memenuhi segenap pemandangan yang terbatas,
Hidupan selain aku rajin bekerja,
Mencari rezeki mengisi perut,
Berhijrah ke kawasan tiada kemelut,
Sungguh aku terus sujud, 
Jiwa kuserah hanya pada yang aku sanjung.



Assalmualaikum dan selamat sejahtera saya ucapkan kepada semua. Pada hari Jumaat yang mulia ini, saya hendak berkongsi tentang pengalaman saya melawat Tanjung Piai yang terletak di Pontian, Johor.

Saya menggembara ke Tanjung Piai ketika berusia 10 tahun, iaitu pada tahun 2009. Semasa itu, saya merupakan pelajar dari Sekolah Kebangsaan (P) Sultan Ibrahim, Johor Bahru atau lebih dikenali sebagai SIGS. Saya masih ingat akan perasaan saya pada ketika itu; gembira, gementar, dan juga bersemangat. Segalanya bercampur menjadi suatu rasa yang tidak mampu saya gambarkan dengan kata-kata.

Lawatan ini merupakan lawatan pertama yang saya sertai sepanjang hidup saya. Saya berasa sangat bersyukur kerana diberi peluang untuk melawat sebuah tempat yang belum pernah saya kunjungi. Walaupun jarak perjalanan dari Johor Bahru ke Pontian mengambil masa kurang dari satu jam namun saya tiada kesempatan untuk melawat Tanjung Piai. Akhirnya, untuk lawatan pelajar Tahun 4, saya diberi ruang dan peluang untuk mengunjungi sebuah pusat pelancongan yang dipenuhi dengan pelbagai ilmu tentang alam.






Mengikut Wikipedia Bahasa Melayu, Tanjung Piai merupakan kawasan tarikan pelancongan terkenal di Malaysia. Ini kerana ia merupakan tanah paling selatan di benua Asia. Ia terletak dalam mukim Kukup, Daerah Pontian, Johor. Kini Tanjung Piai menjadi nama kawasan pilihan raya di Malaysia yang sebelum ini dikenali sebagai parlimen Pontian.
Tanjung Piai terkenal dengan restoran makanan laut dan juga mempunyai hutan paya bakau yang indah dan belum terdedah kepada pencemaran mahupun pembangunan. Dari sini, kita dapat lihat bangunan pencakar langit Singapura yang dipisahkan oleh Selat Johor.
Kami pergi ke Tanjung Piai selama dua hari satu malam. Kami memulakan perjalanan seawal 8.00 pagi untuk ke sana. Saya masih ingat, walaupun masih tersisa lena di mata, namun saya tetap gembira dan bersemangat untuk pergi ke Tanjung Piai. Rindu sungguh akan semangat muda yang ada dalam jiwa saya ketika itu. Sekarang, hendak pergi ke kelas pun perlu diberi kata semangat berkali-kali, barulah adanya inisiatif untuk bersiap, hahaha...
Ada dua buah bas yang akan membawa kami ke Tanjung Piai. Saya duduk bersama-sama rakan baik saya, Elishea dan kami menikmati pemandangan yang disajikan untuk kami. Sepanjang perjalanan, saya sibuk bertukar-tukar cerita dengan rakan baik saya dan saya juga berbual dengan rakan-rakan yang lain. Kami berhenti di Kluang untuk menikmati sarapan pagi. Kluang amat terkenal dengan kopinya dengan gandingan baiknya iaitu roti bakar kaya. Enak sekali menu sarapan pagi kami, sehingga kami mahukan lagi! Akhirnya, kami ditegur oleh guru yang bertugas kerana ketamakkan kami...
Perjalanan diteruskan dan akhirnya kami sampai ke Tanjung Piai. Sejujurnya, saya berasa gembira dan juga takut kerana saya mempunyai ketakutan terhadap laut tetapi rasa ingin tahu mengatasi segalanya. Lantaran sampai ke destinasi, pandangan saya dihiasi dengan hijaunya daun dan birunya lautan. Masyaallah, indah nian!






Guru yang bertugas memberi arahan kepada kami untuk beratur mengikut kelas. Kami pun beratur ketika matahari pagi aktif melampiaskan sinarnya namum itu tidak melunturkan keseronokkan kami! Seorang pegawai bertugas akan membantu kami sepanjang berada di sini. Setelah mendengar taklimat ringkas dari pegawai bertugas, kami diarahkan untuk meletakkan bagasi di chalet yang telah disediakan.

Selang beberapa minit mengemas, kami diberi tempoh rehat selama setengah jam. Saya mengambil peluang itu untuk berbual-bual dengan rakan saya dan berkongi rasa suka dengan mereka. Seronok sekali rasanya! Kami berbual dan angin bertiup dengan kencang sekali. Dingin sungguh rasanya, membuatkan saya hampir terlena kembali diulit mimpi!

Setelah waktu rehat kami tamat, kami akan memulakan ekspedisi melawat taman yang terdapat di Tanjung Piai. Tanjung Piai terkenal dengan pokok paya bakau dan juga kehidupan seperti monyet dan lain-lain. Saya berasa sangat teruja kerana pertama kali melihat monyet di depan mata dan juga siput-siput yang bergelumang dalam lumpur.




Tanjung Piai dikenali sebagai Mercu Tanda Terselatan Benua Asia kerana kedudukan geografinya yang unik. Kami banyak mengambil gambar sebagai tanda kenangan sementara berada di situ. Guru Muzik saya, En Nidzhar, ditugaskan untuk mengambil gambar-gambar kami. Sekali sekala, beliau mengusik kami semua dengan jenaka yang pasti mencuit hati!




Setelah habis mengembara, kami pergi ke Jeti Tanjung Piai dan berehat di situ. Angin yang menyapa kami pada ketika itu sungguh mendamaikan, menyejukkan kulit yang panas dicium mentari. Saya berasa sangat tenang ketika melihat laut yang biru warnanya, dan juga sapaan ombak yang lembut membadai pantai. Tenang sekali rasanya melihat ciptaan Allah.

Pada waktu malam, kami menikmati jamuan yang telah disediakan. Kami dilayan ibarat raja dan permaisuri kerana hidangan yang disajikan setaraf hotel lima bintang! Lazat rasanya juadah yang disajikan untuk kami sehingga saya menjadi rambang mata untuk memilih. 

Kemudian, kami semua berkumpul di foyer dan bertukar-tukar cerita. Ada yang berkongsi pengalaman melancong semasa cuti persekolahan dan ada juga yang berkongsi kisah hantu! Aduh! Gigil juga lutut saya apabila teringat kembali cerita yang disampaikan oleh kawan saya. Sudahlah kami duduk di atas laut dan berdekatan dengan hutan. Dalam hati saya terdetik, janganlah ada yang mengacau...

Waktu pagi kami dikejutkan dengan dinginnya air. Suasana yang hening itu membuatkan saya rasa begitu tenteram. Angin yang saya hela terasa begitu sejuk, mendamaikan hati yang masih berdetak. Saya dan kawan-kawan berjaya melihat matahari terbit dan ternyata, ciptaan Allah sangat indah, tiada tandingnya.

Kami diberi sijil penghargaan oleh pegawai yang bertugas kerana berjaya menjejaki Tanjung Piai. Sehingga hari ini, sijil itu masih ada dalam simpanan saya. Kami kemudian mengucapkan terima kasih dan selamat tinggal kepada warga yang bertugas di Tanjung Piai tersebut.

Saya berasa sangat bersyukur kerana diberi peluang untuk melawat sebuah tempat yang penuh sejarah dan juga amat menarik. Saya banyak mempelajari ilmu alam semasa keberadaan saya di situ. Saya berharap agar kepada pembaca yang belum pernah melawat Tanjung Piai, jangan lepaskan peluang untuk pergi ke tempat ini! Pemandangan yang cantik dan menyejukkan mata pasti membuatkan anda merindui tempat ini setelah meninggalkannya!

Saya akhiri entri saya pada kali ini dengan kata-kata dari Imam Shafie:




Sekian.

Assalamualaikum.

Comments