[22:14 PM/Jumaat/03:07:20] Saya Tak Punya Kampung kerana Saya memang Duduk di Kampung

Rumahku, Syurgaku!

Assalamulaikum dan selamat malam semua! Saya berharap anda semua dalam keadaan yang baik-baik sahaja. Saya di sini alhamdulillah sihat sahaja, masih bertenaga dan masih hendak berkongsi dengan anda semua tentang kehidupan saya di'kampung' saya!

Sebenarnya, saya sudahpun duduk di kampung! Ibu saya berasal dari Johor Bahru, manakala ayah saya pula berasal dari Tawau, Sabah. Oleh hal yang demikian, bolehkah saya simpulkan bahawa kampung saya ialah di Sabah? Namun, sedihnya, saya belum pernah lagi menjejakkan kaki di Sabah! Tak mengapa, satu hari nanti saya pasti akan ke sana dan saya akan bawa keluarga saya!

Saya dibesarkan di rumah ini sudah hampir 21 tahun. Terlalu banyak kenangan manis yang saya ada sepanjang saya duduk di rumah ini. Saya amat suka akan rumah saya ini kerana dikelilingi oleh pokok-pokok yang menghijau! Rumah saya juga mempunya tanaman seperti durian, rambutan, ciku, pinang, manggis, kelapa, pandan, dan bermacam-macam lagi! Semasa saya kecil dahulu, saya juga pernah menolong nenek saya untuk menanam bunga raya di sepanjang jalan. Teringat detik itu, sungguh menggamit perasaan! Ketika itu saya masih kecil lagi, baru berusia 3 tahun, namun saya dan abang berkeras untuk menolong nenek menanam bunga.

Banyak sangat kenangan yang terpahat dalam hati saya tatkala bercerita tentang rumah. Semasa kecil, saya dan abang selalu bermain basikal bersama-sama. Pada suatu hari, kami mengayuh basikal kami (3 roda) mendaki bukit dan malangnya, kami bertembung dan abang saya jatuh ke dalam longkang! Calar-balar belakang badan abang saya, namun yang anehnya, saya tidak apa-apa! Cuma luka sikit sahaja dibeberapa bahagian. Kasihan pula saya mengenang kembali nasib abang saya. Mungkin kerana itulah abang saya kuat sekarang dan tak mudah sakit!

Apabila saya dapat menyambung pengajian ke Kolej Matrikulasi Johor, saya berasa amat berat hati sekali untuk meninggalkan rumah kerana saya tidak pernah keluar dan duduk bersendirian tanpa keluarga sepanjang 18 tahun kehidupan. Tetapi saya gagahkan juga untuk menuntut ilmu dan mencari pengalaman baru. Kini, setelah saya menyambung ijazah di UPM, saya perlu meninggalkan rumah saya juga...

Saya akan selalu merindui ahli keluarga saya, suasana rumah saya, dan juga kucing saya iaitu Lapok. Saya selalu teringatkannya dan selalu merinduinya. Nasib baik saya ada merakam dan menyimpan telatah manjanya dalam telefon bimbit saya. Dapatlah saya mengubat rindu...


Saya lupa akan nama bunga ini. Ia tidak mempunyai bau namun comel sahaja! Bunganya berwarna putih dan tampak begitu suci sekali. 


Ini ialah kucing saya, Lapok. Lapok sudah bersama-sama saya selama 15 tahun. Banyak sekali yang saya telah kongsikan dengan Lapok. Walaupun Lapok tidak memahami, tapi saya amat senang berbual dengannya. Lapok ialah kawan baik saya di rumah. Saya akan selalu mengelus bulunya dan membawanya jalan-jalan menaiki bukit. Kadang-kadang Lapok akan duduk di atas riba saya dan mula mengurut saya. Tapi saya tak begitu suka kerana kukunya tajam! Saya pula tidak berani untuk memotongnya...



Pada waktu petang, kebiasaannya, saya akan keluar bersiar-siar di luar rumah untuk menghirup udara segar. Lapok akan sentiasa menemani saya. Saya akan duduk di atas bangku dan melihat angin meniup daun pada pokok yang hijau, saya melihat awan yang semakin pudar birunya, dan saya merasai manjanya sinar mentari tatkala maghrib hampir menjenguk jendela malam.


Saya berasa amat tenang sekali tatkala saya melihat hijau yang memenuhi segenap rumah saya. Saya mengambil gambar ini semasa saya sedang duduk di atas bangku. Setelah penat bermain-main dengan Lapok, saya akan duduk di bangku marmar itu dan menghirup angin petang. Segala beban dan kesedihan yang terbuku dihati seakan hilang dibawa angin petang...


Sejujurnya, saya lebih suka duduk di rumah dari keluar bersiar-siar di luar. Saya amat suka menghabiskan masa saya di rumah dengan menonton televisyen, membaca buku, mendengar lagu, dan berehat di atas bangku sambil melihat pemandangan. Saya berasakan bahawa rumah ini membawa ketenangan yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Rumah ini ialah kampung saya, tempat saya membesar, dan saya amat menyayanginya.

Baiklah, itu sahaja perkongsian saya pada malam ini. Saya berharap agar anda semua dapat pulang ke kampung anda dan habiskan masa dengan orang yang tersayang! Sentiasa jaga diri dan jaga kesihatan ya? Sehingga kita berjumpa lagi!

Ikan pari ikan puyu,
Kuberikan ikan itu kepada Mutu,
Rumahku syurgaku,
Semoga sentiasa berada di bawah lindungan bayu.

Sekian. Assalamualaikum.

Comments

Popular Posts