[17:34 PM/Jumaat/13:03:20] Jangan Kita Lupakan Kewujudan Kuih Nagasari!

Terkumat-kamit bibirnya membaca mantera,
Moga tiada lagi bertakhta sifat alpa,
Rasanya manis pasti membangkitkan selera,
Kuih Nagasri tak usah dilupa!




Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua.

Alhamdulillah, bertemu lagi kita minggu ini dalam entri blog yang kelima. Hari ini, pada hari Jumaat yang mulia, saya ingin berkongsikan satu makanan tradisional yang menjadi kegemaran saya dan juga seisi keluarga. Eksterior luarnya bewarna putih manakala apabila digigit, terdapat kejutan yang pasti mampu memberikan senyuman pada wajah orang yang sedang menikmati kuih ini! Tidak lain dan tidak bukan, makanan yang saya maksudkan di sini ialah kuih nagasari. 







Pernahkah anda mendengar nama kuih ini? Nagasari? Jangan anda menyangka bahawa ada naga di dalam kuih ini! Eh, tidak! Kuih ini selamat untuk dinikmati dan pastinya terjamin halal jika pembuat kuih ini menggunakan ramuan yang diiktiraf oleh JAKIM, hehehe...

Kuih Nagasari ini merupakan kuih yang berasal dari Indonesia. Namun begitu, kuih ini telah menjadi kuih tradisional masyarakat di Malaysia dan juga di negara lain seperti Singapura dan Brunei. Kuih ini sangat terkenal dibahagian pantai timur Malaysia iaitu di Terengganu dan Kelantan. Tetapi, saya berasakan bahawa kuih ini juga amat popular di selatan Tanah Air. Hal ini disebabkan oleh, saya berasal dari Johor dan kuih ini mudah untuk didapati, terutamanya di pasar malam dan pasar pagi.

Cara untuk membuat kuih ini sangat mudah! Bahan-bahannya hanyalah tepung beras, santan, gula, sedikit garam, dan pisang. Macam-macam jenis pisang yang boleh digunakan untuk membuat kuih ini namun pada pendapat saya, pisang nangka merupakan pilihan yang terbaik kerana rasanya tidak terlalu manis, secukup rasa. Kuih ini dikukus dengan daun pisang. Saya yakin bahawa penggunaan daun pisang ini memainkan peranan yang penting dalam pembuatan kuih nagasari. Daun pisang akan memberikan satu aroma yang wangi kepada kuih ini yang sudah semestinya tidak akan dapat di mana-mana. Gabungan rasa lemak daripada santan segar, ditambah pula dengan rasa manis gula dan juga pisang nangka, dan digabungkan dengan secubit garam bagi menaikkan keseluruhan rasa nagasari ini, waduh! Enak sekali! Sangat mengiurkan, pasti dapat menaikkan rasa teruja pemakannya!







Terlampau banyak kenangan yang saya ada dengan kuih ini. Saya dibesarkan dari keluarga yang bercampur Jawa dan Bugis. Nenek saya merupakan seorang suri rumah sepenuh masa dan beliau selalu membuat aneka jenis kuih dan juga masakan kampung yang sangat asli dan menyelerakan. Ketika saya masih kecil, saya sering membantu nenek saya untuk membuat kuih ini. Saya amat seronok sekali apabila nenek mengejutkan saya di waktu pagi lalu berkata, "Adik, Maktok nak buat nagasari ni. Jom, tolong Maktok?" 

Saya akan melompat dengan penuh kegembiraan. Indah sungguh kenangan itu. Saya ditugaskan untuk memotong pisang kepada saiz yang lebih kecil manakala nenek saya pula akan mula menggaul tepung beras bersama-sama santan yang baru sahaja diparut olehnya. Nenek saya sukakan rasa yang manis, oleh itu, nenek telah masukkan sedikit gula (namun begitu, jika tidak letakkan gula pun tidak mengapa kerana pisang yang digunakan sudah cukup manis) dan sedikit garam. Nasihat nenek, dalam memasak kuih, perlu juga diletakkan sedikit garam agar dapat membangkitkan satu rasa yang mencukupkan hidangan pemanis mulut itu. Sehingga kini, saya masih ingat akan nasihat nenek. 

Saya sangat nakal ketika kecil kerana saya akan memakan tepung yang sudah digaul oleh nenek sehingga tinggal sedikit sahaja! Nenek akan memarahi saya namun selepas itu saya pula mengambil alih tugas nenek untuk menggaul tepung itu. Setelah siap tepungnya itu, kami akan bentukkan pada daun pisang yang telah dibelah kepada segi empat tepat. Kami letakkan tepung dan pisang di atas tepung itu lalu meletakkan sedikit lagi tepung untuk menutup pisang itu. Kemudian, setelah selesai, kuih nagasari itu akan dikukus.

Kuih ini menjadi kegemaran keluarga saya, terutamanya saya dan ayah. Kuih ini telah mengeratkan hubungan kami sekeluarga kerana setelah siap masak kuihnya itu, kami akan duduk bersama-sama di dapur dan menikmati kuih ini dengan secawan teh panas.

Kini, saya sedang melanjutkan pelajaran di UPM, Selangor dan saya akui, amat sukar untuk saya cari kuih nagasari ini dan apabila saya dapat mencarinya, ia tidak akan sama dengan kepunyaan nenek saya. Kuih nagasari yang dimasak oleh nenek saya akan selamanya menjadi kegemaran saya sepanjang hayat!

Saya berharap agar jika pembaca di luar sana tidak pernah melihat atau merasai kuih ini, anda tidak akan rugi jika anda merasainya. Rasa kuih ini amat menepati citarasa masyarakat Malaysia yang sukakan rasa lemak dan manis dalam manisan mereka. Kuih ini sangat mudah untuk disediakan dan jika anda tidak dapat mencarinya di mana-mana, anda boleh mencubanya sendiri di rumah!

Maka dengan itu, saya akhiri entri saya pada kali ini dengan harapan agar saya dapat memberikan sedikit ilmu kepada pembaca di luar sana berkenaan satu kuih yang semakin dilupakan di Malaysia. Semoga selepas ini, kuih nagasari ini akan kembali menjadi popular seperti dahulukala.




Sukma meronta rindukan juitanya,
Keindahan terpancar pada wajahnya yang ceria,
Manis, lemak, dan masin, itulah rasanya,
Nagasari kuih tradisional warisan Malaysia.




Sekian,

Assalamulaikum.

Comments

Popular Posts